Tuesday, September 29, 2009

Islam Tanpa Muslim

Selepas dibawa berjalan-jalan di sekitar Eropah, Syeikh Mohammad Abduh berkata:

رأيت الاسلام و لم ار المسلمين و رأيت المسلمين و لم ار الاسلام

“Aku melihat Islam (di Eropah), tapi tidak melihat Muslim. Dan aku melihat Muslim (di Mesir/negara Arab) tetapi aku tidak melihat Islam”.

Sebelum saya dihantar belajar ke Mesir, al-Marhum Ustaz Samingan Mohd Noor bekas penolong Kanan HEM di KISAS ada menasihati saya, bahawa Mesir itu bumi nabi, dan Mesir juga adalah bumi Firaun. Nasihat padat ini amat mudah saya fahami, namun semakin jelas apabila saya menghuni bumi Kinanah selama 4 tahun.

Tidak dapat dinafikan kehebatan Mesir. Pusat peradaban dunia, menggelar negara mereka sebagai Ummu al-Dunia (ibu dunia). Di situ jugalah letaknya Universiti al-Azhar, pusat pengajian tinggi yang tertua di dunia. Di situlah lahirnya gerakan tajdid Ikhwan Muslimun, yang tersebar seruan pembaharuan mereka ke seluruh dunia. Saya ada ramai kawan daripada pergerakan ini, bersahabat dengan mereka seolah-oleh melihat Quran bergerak! Di situlah tempat ramainya para ulamak, mujtahid dan muhaddithin. Di situlah syurga membeli-belah buku agama dan dunia dengan harga yang murah dan pilihan yang pelbagai. Budaya tipikal Arab seperti menghormati tetamu, memang tiada tandingnya.

Akan tetapi, di situ jugalah tempat yang agak sinonim dengan akhlak-akhlak mazmumah. Kebersihan kurang dijaga. Janganlah bersandar di dinding, kerana kebanyakannya telah dijirus ‘unine’. Mengherdik, menghina dan mengejek amalan biasa. Asabiyah, atau sentimen kabilah masih kuat terutamanya di belah Selatan, di mana kewujudan polis pun tidak memberikan makna kerana semangat kabilah yang kuat, mengheret kepada pelbagai pergaduhan dan seumpamanya. Kalau dalam bab menipu, merekalah juaranya. Berapa ramai peniaga-peniaga Malaysia yang kena tipu.

Setelah hampir 4 tahun saya pulang dari Mesir ke tanah air, Allah mencampakkan saya dan keluarga ke UK. Di sini, saya melihat sendiri kebenaran yang dikatakan oleh Al-Marhum Sheikh Mohammad Abduh di atas. Antaranya:

a. Warga British paling perlu dipuji kerana keterbukaan mereka, dan juga sikap bersedia serta ingin mendengar. Saya berpandangan yang sikap inilah menjadikan mereka sebagai manusia yang boleh keluar daripada era kegelapan (duniawi) suatu ketika dahulu. Di sini, kita bebas untuk menyuarakan pandangan masing-masing. Tidak timbul isu makan hati, polisi larangan itu dan ini dan seumpamanya. Bahkan sekiranya berkhilaf pandangan pun, masih boleh bekerja sekali. Anda bebas untuk menyatakan pandangan bahawa rakan anda silap tanpa membabitkan soal terasa hati pun di sini.

b. Mereka juga wajar dipuji kerana mengamalkan etika kehidupan yang tinggi. Ini dapat dilhat dengan ketara sekiranya anda memandu di jalan raya, cukup tertib. Mereka juga cukup beramanah di dalam perniagaan, itulah daya tarikan pelanggan yang utama. Sebagai contohnya, jaminan barangan. Kalau rosak, sekiranya masih di dalam tempoh jaminan, maka boleh dipulangkan atau digantikan tanpa sebarang soal. Begitu juga dengan ‘cooling off period’, sehinggakan ada yang menyalahgunakannya untuk ‘meminjam’ barangan lalu dipulangkan dengan bayaran penuh. Begitu juga dengan beratur ketika menaiki bas, memberi keutamaan kepada warga tua dan yang kurang upaya, dan macam-macam lagi.

c. Mereka menyuburkan budaya ilmu. Tidak hairanlah banyak pusat pengajian tinggi di UK yang menjadi idaman dan tumpuan masyarakat dunia. Ditambah pula dengan sikap keterbukaan mereka, banyak disiplin ilmu ditawarkan di sini, termasuklah pengajian Islam. Mungkin ada yang pesimis dengan fakta bahawa mengapa ada pengajian Islam di sini? Bukankah itu strategi orientalist untuk melemahkan Islam? Apa hukumnya belajar dengan non-Muslim? Saya tidak nafikan perdebatan ini, memang ada yang punya strategi jahat. Akan tetapi saya cenderung untuk melihat daripada aspek yang positif, mengenai kepentingan kita terlibat dalam debat ilmiah dengan mereka, selain betapa ramai antara cendiakawan ini yang amat objektif dalam kajian, seperti Carole Hillenbrand yang pernah mendapat anugerah daripada kerajaan Arab Saudi. Ada juga yang memuji dan mengiktiraf kepemimpinan nabi Muhammad, seperti Thomas Carlyle di dalam bukunya On Heroes, Hero-worship and the Heroic of History.

d. Mereka seupayanya cuba untuk memuaskan hati semua pihak, terutamanya di dalam tuntutan kaum dan beragama. Tidak hairanlah di sini, kita dapat melihat masjid, kuil dan synagogue di merata tempat. Di bandar-bandar tertentu seperti di London, Birmingham, Leicester dan Bradford, kadang-kadang di sebatang jalan ada sehingga 3 masjid. Di Aberdeen, mereka masih boleh menerima kewujudan masjid yang letaknya hanya beberapa meter sahaja daripada kawasan kediaman orang tempatan yang padat. Bayangkan keterbukaan mereka menerima kehadiran ratusan atau ribuan Muslim setiap waktu tengahari Jumaat, serta kebingitan ahli jemaah masjid yang keluar masuk sepanjang malam Ramadhan. Ramai ulama’ haraki dari negara Arab yang dihalau keluar daripada negara mereka, tetapi mereka dijemput bahkan diraikan untuk hidup di UK serta bebas bersuara. Saya sendiri pernah berjumpa dengan salah seorang bekas pemimpin kanan gerakan Ikhwan di Mesir yang pernah hidup sezaman dengan al-Syahid Hasan Al-Banna, sesuatu yang sekiranya saya buat di Mesir dahulu, maka hilanglah saya di penjara.

e. Walaupun cukai agak tinggi di sini, tetapi banyaknya dipulangkan dalam bentuk kebajikan kepada rakyat. Khidmat kesihatan adalah percuma. Sekiranya masuk ke UK dengan visa tetap, maka tiada bayaran yang dikenakan di klinik dan hospital, termasuklah untuk bersalin. Sebagai pembayar cukai, kita berhak untuk bersuara kepada pihak berkuasa tempatan atau negeri sekiranya ada perkara yang kita tidak puas hati di kawasan kita, dan biasanya akan dilayan segera. Wanita tunggal, penganggur dan orang miskin mendapat elaun sara hidup bulanan, walaupun ada perdebatan di sebaliknya.

f. Mereka juga adalah manusia yang amat menjaga hubungan dengan alam. Kita sedia maklum, selain mementingkan hubungan dengan Tuhan, Islam juga amat menitikberatkan hubungan dengan manusia dan alam. Ramai saintis di sini berlumba-lumba untuk mereka produk yang mesra alam, dan jimat tenaga. Kesungguhan mereka dapat dilihat dengan banyaknya geran yang diberikan kepada mana-mana penduduk yang beralih daripada sistem tenaga elektik dan gas, kepada sistem solar. Mentol lampu jimat tenaga juga, kalau tidak dijual murah, diberikan percuma sahaja kepada semua. Mereka juga bersungguh-sungguh membangunkan kenderaan hybrid dan juga elektrik.

g. Mereka juga amat mengambil berat aspek kesihatan. Menurut bancian, pada tahun 1901, jangkaan hayat umur penduduk British hanyalah 45 tahun bagi lelaki dan 49 tahun bagi perempuan, sementara pada tahun 2002 pula ialah 76 tahun bagi lelaki dan 81 tahun bagi perempuan. Di Malaysia, kita mencatatkan 70 tahun bagi lelaki dan 75 tahun bagi perempuan. Saya pernah ditugaskan membantu pengunjung Queen Mother Library yang berumur 90-tahun, bongkok 3 dan bertongkat, tetapi masih sihat berjalan dan cerah fikiran yang ingin menghabiskan masa membaca buku di situ. Kalau pergi di pusat membeli-belah, jangan terkejut sekiranya melihat ramai nenek-nenek tua. Dan yang terpenting, kesihatan itu adalah simbol menjaga kebersihan pada tahap yang tinggi.

Jika dilihat pada senarai di atas, mungkin ada yang menyatakan bahawa saya tidak adil. Bercerita tentang kebaikan muslim hanya seperenggan, tetapi bila bercerita tentang kebaikan non-Muslim, panjang lebar. Secara ringkas, bukan semua di Eropah ini baik-baik belaka. Ada juga yang perlu kita berhati-hati. Antaranya ialah:

a. Kebanyakan mereka tidak percaya kepada kewujudan Tuhan. Mereka hidup tanpa agama. Kalaulah tiada orang Afrika dan warga Eropah Timur yang datang dan berkunjung ke UK, nescaya kosonglah gereja-gereja di sini. Pergilah ke mana-mana bandar, anda akan dapati banyak gereja lama yang dijual dan ditukar sama ada menjadi masjid, dewan umum atau pub! Justeru, tiadalah gunanya nilai-nilai murni yang dibicarakan di atas sekiranya semua itu disandarkan selain daripada Tuhan.

b. Mereka dirosakkan dengan alkohol. Di UK, 33,000 orang mati setiap tahun kerana penyakit berkait-alkohol. Di penjara dan pusat tahanan, ramai yang ditahan kerana jenayah akibat pengaruh alkohol. Walaupun pelbagai usahadibuat untuk mengurangkan budaya yang telah lama disemat dalam kehidupan mereka ini, seperti cukai yang tinggi, kumpulan sokongan dan kaunseling, undang-undang alkohol yang ketat seperti larangan minum di tempat terbuka, akan tetapi ianya tidak berkesan. Di dalam Islam, arak digelar ummu al-khaba’ith (ibu segala kejahatan). Dengan mabuk, lahirlah pelbagai jenayah berbangkit. Sikap tegas dan penuh berhikmah terhadap pengharaman arak telah menyebabkan masyarakat Arab ketika zaman nabi yang budayanya ialah budaya mabuk, menjadi manusia terbilang di dunia ini.

c. Selain arak, mereka turut dirosakkan oleh dadah. Di sini, berbeza dengan Malaysia, tiada hukuman mati mandatori bagi penagih dan pengedar dadah. Bahkan sampai satu peringkat, dadah yang terkawal dosnya, diberikan secara percuma di farmasi kepada penagih dengan kelayakan tertentu.

d. Segelintir daripada warga tempatan, terutamanya English, masih lagi mempunyai sikap perkauman orang putih (white supremacy). Mereka ini, daripada kumpulan pelampau berhaluan kanan, dinaungi oleh sebuah parti politik yang dikenali dengan BNp (British National Party). Banyak provokasi yang dilakukan oleh mereka telah membangkitkan kemarahan imigran di sini, terutamanya daripada Asia Selatan (India, Pakistan dan Bangladesh). Hasilnya, di beberapa tempat, berlakunya demostrasi antara kumpulan ini. Mereka terang-terangan menolak kewujudan bangsa lain di UK, membantah pembinaan masjid dan synagogue serta banyak melakukan serangan ke atas yang bukan berkulit putih. Lebih membimbangkan, dalam pilihanraya ke Parlimen Eropah baru-baru ini, 2 wakil BNp telah menang, satu keputusan yang mengejutkan masyarakat UK.

e. Amalan seks bebas juga seolah-olah sukar dikawal di sini. Kehamilan di usia muda adalah petunjuk kesannya. Saya pernah setahun tinggal di Dundee, bandar yang mencatatkan kehamilan usia muda tertinggi di UK, sehingga ada keperluan menubuhkan sebuah pusat kebajikan sokongan buat mereka. Apa kesannya? Antara lain, ialah kecelaruan struktur masyarakat (ada yang tidak mengenal bapanya sendiri), kemurungan diri, serta bertambahnya golongan ibu tunggal muda kerana ditinggalkan ‘partner’.

f. Mereka juga bertuhankan hedonisme. Banyak keputusan dalam hidup ditentukan atas sebab hedonisme, atau atas neraca hiburan diri semata-mata. Maka tidak hairanlah, lahirnya ramai artis di sini dan menjadi pujaan serta idola remaja. Mereka sanggup untuk membuat ‘pilgrimage’ hedonisme setiap tahun, berjalan jauh di ceruk desa dan berkhemah sejuk-sejuk di situ, untuk melihat konsert hiburan selama beberapa hari secara terus-menerus.

Itu hanyalah secebis daripada nilai positif dan negatif yang saya perhatikan sepanjang pemukiman sementara di sini. Semua ini perlu diperhatikan dengan hati yang halus, lantas mengheret fikiran kita kepada sabda nabi Muhammad SAW:

الحكمة ضالة المؤمن أنى وجدها فهو أحق الناس به

“Kebijaksanaan itu adalah barang cicir orang Mukmin. Sekiranya ianya dijumpai, maka merekalah yang lebih berhak untuk mendapatkannya kembali”. (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi).

Justeru, sentiasalah kita memerhatikan nilai positif yang ada di dalam kehidupan masyarakat UK ini, serta cuba mengadaptasinya sekiranya ada keperluan apabila kembali ke tanah air kelak.

Yang pasti, melihat baiknya masyarakat British di sini, adalah membenarkan kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Al-Marhum Syeikh Muhammad Abduh suatu masa dahulu. Islam….. tanpa Muslim. Kalaulah mereka ini menjadi Muslim…