Tuesday, September 29, 2009

Islam Tanpa Muslim

Selepas dibawa berjalan-jalan di sekitar Eropah, Syeikh Mohammad Abduh berkata:

رأيت الاسلام و لم ار المسلمين و رأيت المسلمين و لم ار الاسلام

“Aku melihat Islam (di Eropah), tapi tidak melihat Muslim. Dan aku melihat Muslim (di Mesir/negara Arab) tetapi aku tidak melihat Islam”.

Sebelum saya dihantar belajar ke Mesir, al-Marhum Ustaz Samingan Mohd Noor bekas penolong Kanan HEM di KISAS ada menasihati saya, bahawa Mesir itu bumi nabi, dan Mesir juga adalah bumi Firaun. Nasihat padat ini amat mudah saya fahami, namun semakin jelas apabila saya menghuni bumi Kinanah selama 4 tahun.

Tidak dapat dinafikan kehebatan Mesir. Pusat peradaban dunia, menggelar negara mereka sebagai Ummu al-Dunia (ibu dunia). Di situ jugalah letaknya Universiti al-Azhar, pusat pengajian tinggi yang tertua di dunia. Di situlah lahirnya gerakan tajdid Ikhwan Muslimun, yang tersebar seruan pembaharuan mereka ke seluruh dunia. Saya ada ramai kawan daripada pergerakan ini, bersahabat dengan mereka seolah-oleh melihat Quran bergerak! Di situlah tempat ramainya para ulamak, mujtahid dan muhaddithin. Di situlah syurga membeli-belah buku agama dan dunia dengan harga yang murah dan pilihan yang pelbagai. Budaya tipikal Arab seperti menghormati tetamu, memang tiada tandingnya.

Akan tetapi, di situ jugalah tempat yang agak sinonim dengan akhlak-akhlak mazmumah. Kebersihan kurang dijaga. Janganlah bersandar di dinding, kerana kebanyakannya telah dijirus ‘unine’. Mengherdik, menghina dan mengejek amalan biasa. Asabiyah, atau sentimen kabilah masih kuat terutamanya di belah Selatan, di mana kewujudan polis pun tidak memberikan makna kerana semangat kabilah yang kuat, mengheret kepada pelbagai pergaduhan dan seumpamanya. Kalau dalam bab menipu, merekalah juaranya. Berapa ramai peniaga-peniaga Malaysia yang kena tipu.

Setelah hampir 4 tahun saya pulang dari Mesir ke tanah air, Allah mencampakkan saya dan keluarga ke UK. Di sini, saya melihat sendiri kebenaran yang dikatakan oleh Al-Marhum Sheikh Mohammad Abduh di atas. Antaranya:

a. Warga British paling perlu dipuji kerana keterbukaan mereka, dan juga sikap bersedia serta ingin mendengar. Saya berpandangan yang sikap inilah menjadikan mereka sebagai manusia yang boleh keluar daripada era kegelapan (duniawi) suatu ketika dahulu. Di sini, kita bebas untuk menyuarakan pandangan masing-masing. Tidak timbul isu makan hati, polisi larangan itu dan ini dan seumpamanya. Bahkan sekiranya berkhilaf pandangan pun, masih boleh bekerja sekali. Anda bebas untuk menyatakan pandangan bahawa rakan anda silap tanpa membabitkan soal terasa hati pun di sini.

b. Mereka juga wajar dipuji kerana mengamalkan etika kehidupan yang tinggi. Ini dapat dilhat dengan ketara sekiranya anda memandu di jalan raya, cukup tertib. Mereka juga cukup beramanah di dalam perniagaan, itulah daya tarikan pelanggan yang utama. Sebagai contohnya, jaminan barangan. Kalau rosak, sekiranya masih di dalam tempoh jaminan, maka boleh dipulangkan atau digantikan tanpa sebarang soal. Begitu juga dengan ‘cooling off period’, sehinggakan ada yang menyalahgunakannya untuk ‘meminjam’ barangan lalu dipulangkan dengan bayaran penuh. Begitu juga dengan beratur ketika menaiki bas, memberi keutamaan kepada warga tua dan yang kurang upaya, dan macam-macam lagi.

c. Mereka menyuburkan budaya ilmu. Tidak hairanlah banyak pusat pengajian tinggi di UK yang menjadi idaman dan tumpuan masyarakat dunia. Ditambah pula dengan sikap keterbukaan mereka, banyak disiplin ilmu ditawarkan di sini, termasuklah pengajian Islam. Mungkin ada yang pesimis dengan fakta bahawa mengapa ada pengajian Islam di sini? Bukankah itu strategi orientalist untuk melemahkan Islam? Apa hukumnya belajar dengan non-Muslim? Saya tidak nafikan perdebatan ini, memang ada yang punya strategi jahat. Akan tetapi saya cenderung untuk melihat daripada aspek yang positif, mengenai kepentingan kita terlibat dalam debat ilmiah dengan mereka, selain betapa ramai antara cendiakawan ini yang amat objektif dalam kajian, seperti Carole Hillenbrand yang pernah mendapat anugerah daripada kerajaan Arab Saudi. Ada juga yang memuji dan mengiktiraf kepemimpinan nabi Muhammad, seperti Thomas Carlyle di dalam bukunya On Heroes, Hero-worship and the Heroic of History.

d. Mereka seupayanya cuba untuk memuaskan hati semua pihak, terutamanya di dalam tuntutan kaum dan beragama. Tidak hairanlah di sini, kita dapat melihat masjid, kuil dan synagogue di merata tempat. Di bandar-bandar tertentu seperti di London, Birmingham, Leicester dan Bradford, kadang-kadang di sebatang jalan ada sehingga 3 masjid. Di Aberdeen, mereka masih boleh menerima kewujudan masjid yang letaknya hanya beberapa meter sahaja daripada kawasan kediaman orang tempatan yang padat. Bayangkan keterbukaan mereka menerima kehadiran ratusan atau ribuan Muslim setiap waktu tengahari Jumaat, serta kebingitan ahli jemaah masjid yang keluar masuk sepanjang malam Ramadhan. Ramai ulama’ haraki dari negara Arab yang dihalau keluar daripada negara mereka, tetapi mereka dijemput bahkan diraikan untuk hidup di UK serta bebas bersuara. Saya sendiri pernah berjumpa dengan salah seorang bekas pemimpin kanan gerakan Ikhwan di Mesir yang pernah hidup sezaman dengan al-Syahid Hasan Al-Banna, sesuatu yang sekiranya saya buat di Mesir dahulu, maka hilanglah saya di penjara.

e. Walaupun cukai agak tinggi di sini, tetapi banyaknya dipulangkan dalam bentuk kebajikan kepada rakyat. Khidmat kesihatan adalah percuma. Sekiranya masuk ke UK dengan visa tetap, maka tiada bayaran yang dikenakan di klinik dan hospital, termasuklah untuk bersalin. Sebagai pembayar cukai, kita berhak untuk bersuara kepada pihak berkuasa tempatan atau negeri sekiranya ada perkara yang kita tidak puas hati di kawasan kita, dan biasanya akan dilayan segera. Wanita tunggal, penganggur dan orang miskin mendapat elaun sara hidup bulanan, walaupun ada perdebatan di sebaliknya.

f. Mereka juga adalah manusia yang amat menjaga hubungan dengan alam. Kita sedia maklum, selain mementingkan hubungan dengan Tuhan, Islam juga amat menitikberatkan hubungan dengan manusia dan alam. Ramai saintis di sini berlumba-lumba untuk mereka produk yang mesra alam, dan jimat tenaga. Kesungguhan mereka dapat dilihat dengan banyaknya geran yang diberikan kepada mana-mana penduduk yang beralih daripada sistem tenaga elektik dan gas, kepada sistem solar. Mentol lampu jimat tenaga juga, kalau tidak dijual murah, diberikan percuma sahaja kepada semua. Mereka juga bersungguh-sungguh membangunkan kenderaan hybrid dan juga elektrik.

g. Mereka juga amat mengambil berat aspek kesihatan. Menurut bancian, pada tahun 1901, jangkaan hayat umur penduduk British hanyalah 45 tahun bagi lelaki dan 49 tahun bagi perempuan, sementara pada tahun 2002 pula ialah 76 tahun bagi lelaki dan 81 tahun bagi perempuan. Di Malaysia, kita mencatatkan 70 tahun bagi lelaki dan 75 tahun bagi perempuan. Saya pernah ditugaskan membantu pengunjung Queen Mother Library yang berumur 90-tahun, bongkok 3 dan bertongkat, tetapi masih sihat berjalan dan cerah fikiran yang ingin menghabiskan masa membaca buku di situ. Kalau pergi di pusat membeli-belah, jangan terkejut sekiranya melihat ramai nenek-nenek tua. Dan yang terpenting, kesihatan itu adalah simbol menjaga kebersihan pada tahap yang tinggi.

Jika dilihat pada senarai di atas, mungkin ada yang menyatakan bahawa saya tidak adil. Bercerita tentang kebaikan muslim hanya seperenggan, tetapi bila bercerita tentang kebaikan non-Muslim, panjang lebar. Secara ringkas, bukan semua di Eropah ini baik-baik belaka. Ada juga yang perlu kita berhati-hati. Antaranya ialah:

a. Kebanyakan mereka tidak percaya kepada kewujudan Tuhan. Mereka hidup tanpa agama. Kalaulah tiada orang Afrika dan warga Eropah Timur yang datang dan berkunjung ke UK, nescaya kosonglah gereja-gereja di sini. Pergilah ke mana-mana bandar, anda akan dapati banyak gereja lama yang dijual dan ditukar sama ada menjadi masjid, dewan umum atau pub! Justeru, tiadalah gunanya nilai-nilai murni yang dibicarakan di atas sekiranya semua itu disandarkan selain daripada Tuhan.

b. Mereka dirosakkan dengan alkohol. Di UK, 33,000 orang mati setiap tahun kerana penyakit berkait-alkohol. Di penjara dan pusat tahanan, ramai yang ditahan kerana jenayah akibat pengaruh alkohol. Walaupun pelbagai usahadibuat untuk mengurangkan budaya yang telah lama disemat dalam kehidupan mereka ini, seperti cukai yang tinggi, kumpulan sokongan dan kaunseling, undang-undang alkohol yang ketat seperti larangan minum di tempat terbuka, akan tetapi ianya tidak berkesan. Di dalam Islam, arak digelar ummu al-khaba’ith (ibu segala kejahatan). Dengan mabuk, lahirlah pelbagai jenayah berbangkit. Sikap tegas dan penuh berhikmah terhadap pengharaman arak telah menyebabkan masyarakat Arab ketika zaman nabi yang budayanya ialah budaya mabuk, menjadi manusia terbilang di dunia ini.

c. Selain arak, mereka turut dirosakkan oleh dadah. Di sini, berbeza dengan Malaysia, tiada hukuman mati mandatori bagi penagih dan pengedar dadah. Bahkan sampai satu peringkat, dadah yang terkawal dosnya, diberikan secara percuma di farmasi kepada penagih dengan kelayakan tertentu.

d. Segelintir daripada warga tempatan, terutamanya English, masih lagi mempunyai sikap perkauman orang putih (white supremacy). Mereka ini, daripada kumpulan pelampau berhaluan kanan, dinaungi oleh sebuah parti politik yang dikenali dengan BNp (British National Party). Banyak provokasi yang dilakukan oleh mereka telah membangkitkan kemarahan imigran di sini, terutamanya daripada Asia Selatan (India, Pakistan dan Bangladesh). Hasilnya, di beberapa tempat, berlakunya demostrasi antara kumpulan ini. Mereka terang-terangan menolak kewujudan bangsa lain di UK, membantah pembinaan masjid dan synagogue serta banyak melakukan serangan ke atas yang bukan berkulit putih. Lebih membimbangkan, dalam pilihanraya ke Parlimen Eropah baru-baru ini, 2 wakil BNp telah menang, satu keputusan yang mengejutkan masyarakat UK.

e. Amalan seks bebas juga seolah-olah sukar dikawal di sini. Kehamilan di usia muda adalah petunjuk kesannya. Saya pernah setahun tinggal di Dundee, bandar yang mencatatkan kehamilan usia muda tertinggi di UK, sehingga ada keperluan menubuhkan sebuah pusat kebajikan sokongan buat mereka. Apa kesannya? Antara lain, ialah kecelaruan struktur masyarakat (ada yang tidak mengenal bapanya sendiri), kemurungan diri, serta bertambahnya golongan ibu tunggal muda kerana ditinggalkan ‘partner’.

f. Mereka juga bertuhankan hedonisme. Banyak keputusan dalam hidup ditentukan atas sebab hedonisme, atau atas neraca hiburan diri semata-mata. Maka tidak hairanlah, lahirnya ramai artis di sini dan menjadi pujaan serta idola remaja. Mereka sanggup untuk membuat ‘pilgrimage’ hedonisme setiap tahun, berjalan jauh di ceruk desa dan berkhemah sejuk-sejuk di situ, untuk melihat konsert hiburan selama beberapa hari secara terus-menerus.

Itu hanyalah secebis daripada nilai positif dan negatif yang saya perhatikan sepanjang pemukiman sementara di sini. Semua ini perlu diperhatikan dengan hati yang halus, lantas mengheret fikiran kita kepada sabda nabi Muhammad SAW:

الحكمة ضالة المؤمن أنى وجدها فهو أحق الناس به

“Kebijaksanaan itu adalah barang cicir orang Mukmin. Sekiranya ianya dijumpai, maka merekalah yang lebih berhak untuk mendapatkannya kembali”. (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi).

Justeru, sentiasalah kita memerhatikan nilai positif yang ada di dalam kehidupan masyarakat UK ini, serta cuba mengadaptasinya sekiranya ada keperluan apabila kembali ke tanah air kelak.

Yang pasti, melihat baiknya masyarakat British di sini, adalah membenarkan kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Al-Marhum Syeikh Muhammad Abduh suatu masa dahulu. Islam….. tanpa Muslim. Kalaulah mereka ini menjadi Muslim…

Thursday, July 9, 2009

Masalah Gaji Atau Cuti

Kita seringkali mendengar penganiayaan dan penderaan fizikal atau mental terhadap pembantu rumah. Terkadang kita terbuat tindakan yang semberono yang bukan merupakan penyelesaian kepada permasalahan yang sebenar.

Pada saya masalah gaji minimum yang diminta oleh Kerajaan Indonesia itu bukanlah merupakan tuntutan yang lahir daripada cetusan hati kecil rakyat mereka yang merantau ke sini sebagai pembantu rumah. Setengah mereka yang datang ke sini sebagai pembantu rumah terkejut dengan gaji mereka RM400 yang melebihi satu juta Rupiah. Bagi mereka satu juta rupiah itu seperti seribu Ringgit Malaysia.

Mereka yang datang ke Malaysia untuk bekerja sehingga tamat kontrak dua tahun dan kembali ke negara asal mereka membawa wang bersih sebesar RM10,000 adalah menyamai Rp30juta yang telah memampukan mereka memiliki tanah dan rumah sendiri secara tunai. Ini akan mengalahkan majikan mereka yang perlu bekerja berpuluh tahun untuk menjelaskan hutang rumah.

Pada pandangan saya, biarlah pasaran yang menentukan harga minima. Tidak mustahil ada pembantu yang datang bekerja sanggup dengan gaji RM100 sebulan bersih demi lari daripada kongkongan hidup di negara sendiri jika mendapat majikan yang dapat menjaga mereka umpama keluarga sendiri. Ramai juga pembantu yang melarikan diri daripada majikan walaupun dibayar dengan gaji bulanan melebihi RM700 sebulan memandangkan hidup yang tertekan dibawah telunjuk majikan yang memeras keringat mereka hingga ke titisan akhir.Apa yang penting adalah keselesaan dan kualiti hidup, wang ringgit memang dikejar sebagai keperluan, tapi ianya bukan matlamat dan wang ringgit tidak boleh membayar segala permasalahan.

Begitu juga dengan permasalahan cuti. Pada saya jika dibenarkan bercuti seminggu sekali atau sebulan sekali, akan menimbulkan permasalahan yang lebih banyak. Saya jangkakan ramai pembantu pulang dengan keadaan hamil samada anak halal atau anak haram. Ini berdasarkan latarbelakang keluarga yang jauh diperantauan dan kebebasan sosial yang akan dimiliki mereka. Tidak kurang juga akan timbul pelbagai kes jenayah kerana ini akan mendedahkan pembantu kepada pergaulan dengan kaum lelaki khasnya rakyat Indonesia yang tinggal dirumah-rumah kongsi atau di ladang-ladang.

Samada kes rogol, pembunuhan, pecah rumah atau rompakan memandangkan pembantu akan diajar oleh pelbagai sindiket dikawasan tersebut, contohnya datang dengan membawa kunci pendua rumah majikan atau berpakat dengan pelbagai cara mengugut majikan disamping berkongsi informasi sulit tentang harta dan kekayaan majikan.

Saya berharap pihak kerajaan tidak mudah melatah dengan tuntutan pelbagai pihak sebaliknya hendaklah berbincang dengan pelbagai pihak di peringkat akar umbi sebelum apa-apa polisi dilaksanakan. Bak kata pepatah, monyet dihutan disusukan dibiarkan anak kelaparan. Begitulah rakayat asing dimanjakan sedangkan rakyat sendiri terpaksa menangung pelbagai penderitaan. Adalah lebih baik untuk pihak kerjaan menumpukan perhatian bagi memudahkan kekusutan permit, penghantaran pulang secara hormat daripada membuat peraturan yang meresahkan rakyat sendiri.

Tuesday, June 30, 2009

Pembantu Rumah, Siapa Yang Salah

Dalam menangangani isu pembantu rumah, terdapat 6 pihak utama yang terlibat:
1) Pembantu rumah
2) Majikan yang menggaji pembantu rumah
3) Agensi Indonesia
4) Agensi Malaysia
5) Pihak berkuasa Indonesia
6) Pihak berkuasa Malaysia

Masalah yang utama pula dihadapi oleh pelbagai pihak adalah seperti berikut:
1) Penganiayaan terhadap pembantu rumah
2) Ketidakpuashatian para majikan diatas wang yang telah dilaburkan.
3) Kesukaran pengurusan passport dan visa
4) Kesukaran pengurusan permit dan penghantaran pulang
5) Menangani aduan dari keluarga pembantu
6) Berdepan dengan isu pendatang asing dan masalah sosial.

Kesemua pihak di atas menyumbangkan kepada manafaat dan kesusahan yang dihadapai oleh pelbagai pihak:
1) Pembantu yang tidak boleh memenuhi spesifikasi dan kehendak majikan dalam soal kerja
2) Majikan yang tidak menjaga kebajikan pembantu
3) Birokrasi pihak kerajaan Indonesia dalam urusan passport dan penguatkuasaan
4) Kegagalan membuat penjodohan yang serasi majikan-pembantu
5) Kaum keluarga yang mengambil kesempatan diatas pendapatan pembantu
6) Peraturan yang gagal menyelesaikan kekusutan permit dan penghantaran pulang

Kesemua masalah diatas mungkin dapat diatasi dengan penyelesaian dibawah:
1) Pembantu hendaklah dibenarkan dibawa masuk dengan permit agensi pekerjaan berdaftar.
2) Agensi hendaklah membuat latihan dan saringan terhadap pembantu yang sampai. Pembantu yang tidak memenuhi spesifikasi hendaklah dihentar pulang dan bayaran levi boleh diganti dengan pembantu lain.
3) Penjodohan majikan pembantu hendaklah dibuat dengan tempoh percubaan melebihi 3 bulan.
4) Permit hanya akan ditukarkan kepada nama majikan apabila benar-benar terdapat keserasian majikan pembantu dan kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani perjanjian kerja.
5) Agensi akan memantau pekerja sepanjang kontrak dan sekiranya berlaku perselisihan pembantu-majikan atau penganiayaan, pembantu boleh pulang balik kepada agensi untuk kaunseling dan sekiranya gagal, permit akan ditukarkan balik kepada nama agensi untuk tukar majikan atau penghantaran pulang.
6) Bayaran proses boleh dikenakan pada setiap peringkat oleh pihak kerajaan demi meningkatkan perolehan kerajaan dan menghalang pertukaran dibuat sewenangnya tanpa keperluan manasabah.

Faedah yang diperlehi daripada sistem diatas mungkian adalah seperti berikut:
1) Proses yang cepat, pembantu tidak perlu menunggu lama di Indonesia dan mengelakkan kes gagal berangkat.
2) Majikan dapat memperolehi pembantu dengan kadar segera dan mencuba pembantu untuk mendapatkan pembantu yang cocok dengan suasana kerja, dan berbaloi dengan wang yang dilaburkan
3) Mengurangkan penipuan daripada agensi di Indonesia yang mengambil kesempatan diatas permintaan pembantu yang tinggi dengan menghantaran pembantu yang tidak bermutu seperti sakit dan mengalami masalah mental. Juga mengelakkan penipuan menjual dokumen (biodata) sahaja dengan ketiadaan pembantu secara fizikal.
4) Memudahkan pihak agensi untuk menguruskan permit yang sah tanpa mengalami pelbagai kekusutan dan birokrasi.
5) Melancarkan penghantaran tenaga kerja oleh kerajaan Indonesia, memungut cukai berkaitan dan mengelakkan penghantaran secara haram.
6) Meningkatkan perolehan kerajaan disamping mengawal masalah sosial dengan kerjasama erat pihak berkuasa dan pihak swasta.

Adalah maklum bahawa kitalah yang mencipta peraturan dan peraturan dicipta untuk memberikan faedah kepada kita. Dengan kaedah yang dicadangkan diatas ia akan mengurangkan ketidaksesuaian majikan-pembantu yang mana pemilihan sebelum ini hanya berdasarkan foto dan biodata. Jika tiada keserasian, seolah-olah mereka ini dijodohkan secara paksa menyebabkan banyak berlaku kes lari dan masalah penderaan; tidak kurang juga berlaku penipuan yang berleluasa oleh pihak agensi dari seberang.

WaLLahu'alam.

Wednesday, April 15, 2009

Rahsia HANDSET untuk kecemasan

PERKARA YANG ANDA TAK TAHU TENTANG TELEFON BIMBIT
Tahukah anda bahawa telefon bimbit anda sedikit sebanyak
boleh membantu dikala kecemasan.Banyak perkara yang boleh anda
lakukan,antaranya : -
1) NOMBOR KECEMASAN
- Sentiasa ingat bahawa nombor kecemasan untuk semua
telefon adalah 112.Jika anda dalam kecemasan dan berada dikawasan
tiada liputan untuk semua talian telefon bimbit yang anda gunakan,
cuba dail nombor kecemasan 112.Ia boleh digunakan walaupun di
kawasan yang tiada liputan dan lebih menarik lagi,ia boleh terus
didail walaupun papan kekunci telefon bimbit anda dikunci ( Keypad
lock )
2) KERETA TERKUNCI
- Pernahkah anda tertinggal kunci kereta dalam kereta dan
kereta anda ketika itu terkunci dari luar.Mesti anda lakukan
pelbagai cara untuk mendapatkan kembali kunci bagi membuka semula
kereta anda.Jangan risau,telefon bimbit boleh membantu,tapi bagi
kereta yang menggunakan system penggera ( alarm ) sahaja .
Caranya,cuba anda hubungi seseorang yang berada di rumah.Minta dia
ambilkan kunci pendua kereta anda.Kemudian pegang telefon bimbit
anda dari jarak kira-kira 30 sm ( satu kaki ) dari kereta yang
terkunci itu.Minta pula keluarga atau teman di rumah menekan punat
' ON ' pada kunci pendua kereta dan pastikan dia menekan dengan
mendekatkan pada telefon bimbitnya.Pasti kereta anda tidak terkunci
lagi,malah ia boleh dilakukan dari jarak beratus-ratus kilometer
dari tempat kereta anda berada.Kerana itu juga,penting untuk anda
menyimpan kunci pendua atau meminta orang yang anda percayai untuk
menyimpannya. Penting juga penggunaan telefon bimbit dalam keadaan
sebegini.Kaedah ini memang berkesan kerana beberapa orang telah
mencubanya.
3) KUASA BATERI TERSEMBUNYI
- Mungkin ramai tidak tahu,telefon bimbit yang telah
kehabisan bateri masih boleh digunakan dalam keadaan kecemasan
kerana ia mempunyai fungsi untuk menyimpan bateri tambahan.Bayangkan
jika bateri telefon bimbit anda sudah terlalu lemah atau mati
sedangkan anda perlu melakukan panggilan penting atau berada dalam
kecemasan.Telefon bimbit jenis Nokia didatangkan dengan bateri
simpanan.Untuk mengatifkannya, tekan kekunci ' *3370# ' . Telefon
bimbit anda akan berjaya dihidupkan semula dan skrin telefon akan
memberitahu telefon tentang penambahan kuasa bateri sebanyak 50
peratus.Kuasa tambahan ini juga akan dicas semula bila anda mengecas
telefon bimbit anda .
4) TELEFON KENA CURI
- Bagaimana jika telefon bimbit anda
dicuri.Anda boleh menjadikan ia tidak dapat diaktifkan dengan
menekan nombor siri yang terdapat di telefon bimbit anda,sila dail
*#06# dan 15 digit nombor siri telefon bimbit anda akan tertera di
skrin.Nombor ini adalah unik untuk setiap telefon bimbit.Catatkan
nombor siri ini dan simpannya di tempat Selamat.Bila telefon bimbit
anda dicuri,anda boleh hubungi pusat servis telefon bimbit anda dan
berikannya kod nombor siri tersebut.Mereka kemudiannya akan mengunci
system dalam telefon bimbit anda dan sesiapa sahaja yang mencurinya
pasti hampa kerana walaupun kad simnya telah ditukar,dia tidak akan
berupaya mengaktifkan kembali telefon bimbit tersebut.Jadi, walaupun
ia di curi,namun sekurang-kurangnya anda berpuas hati kerana si
pencuri takkan boleh menggunakannya ataupun menjualnya

Monday, April 13, 2009

Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.


HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh," katanya.
http://www.bharian.com.my/Sunday/Bmdua/20081019084321/mainpix2.jpg
Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio.


Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.
"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah," katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain," katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif," katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat," katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal," katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.