Thursday, July 9, 2009

Masalah Gaji Atau Cuti

Kita seringkali mendengar penganiayaan dan penderaan fizikal atau mental terhadap pembantu rumah. Terkadang kita terbuat tindakan yang semberono yang bukan merupakan penyelesaian kepada permasalahan yang sebenar.

Pada saya masalah gaji minimum yang diminta oleh Kerajaan Indonesia itu bukanlah merupakan tuntutan yang lahir daripada cetusan hati kecil rakyat mereka yang merantau ke sini sebagai pembantu rumah. Setengah mereka yang datang ke sini sebagai pembantu rumah terkejut dengan gaji mereka RM400 yang melebihi satu juta Rupiah. Bagi mereka satu juta rupiah itu seperti seribu Ringgit Malaysia.

Mereka yang datang ke Malaysia untuk bekerja sehingga tamat kontrak dua tahun dan kembali ke negara asal mereka membawa wang bersih sebesar RM10,000 adalah menyamai Rp30juta yang telah memampukan mereka memiliki tanah dan rumah sendiri secara tunai. Ini akan mengalahkan majikan mereka yang perlu bekerja berpuluh tahun untuk menjelaskan hutang rumah.

Pada pandangan saya, biarlah pasaran yang menentukan harga minima. Tidak mustahil ada pembantu yang datang bekerja sanggup dengan gaji RM100 sebulan bersih demi lari daripada kongkongan hidup di negara sendiri jika mendapat majikan yang dapat menjaga mereka umpama keluarga sendiri. Ramai juga pembantu yang melarikan diri daripada majikan walaupun dibayar dengan gaji bulanan melebihi RM700 sebulan memandangkan hidup yang tertekan dibawah telunjuk majikan yang memeras keringat mereka hingga ke titisan akhir.Apa yang penting adalah keselesaan dan kualiti hidup, wang ringgit memang dikejar sebagai keperluan, tapi ianya bukan matlamat dan wang ringgit tidak boleh membayar segala permasalahan.

Begitu juga dengan permasalahan cuti. Pada saya jika dibenarkan bercuti seminggu sekali atau sebulan sekali, akan menimbulkan permasalahan yang lebih banyak. Saya jangkakan ramai pembantu pulang dengan keadaan hamil samada anak halal atau anak haram. Ini berdasarkan latarbelakang keluarga yang jauh diperantauan dan kebebasan sosial yang akan dimiliki mereka. Tidak kurang juga akan timbul pelbagai kes jenayah kerana ini akan mendedahkan pembantu kepada pergaulan dengan kaum lelaki khasnya rakyat Indonesia yang tinggal dirumah-rumah kongsi atau di ladang-ladang.

Samada kes rogol, pembunuhan, pecah rumah atau rompakan memandangkan pembantu akan diajar oleh pelbagai sindiket dikawasan tersebut, contohnya datang dengan membawa kunci pendua rumah majikan atau berpakat dengan pelbagai cara mengugut majikan disamping berkongsi informasi sulit tentang harta dan kekayaan majikan.

Saya berharap pihak kerajaan tidak mudah melatah dengan tuntutan pelbagai pihak sebaliknya hendaklah berbincang dengan pelbagai pihak di peringkat akar umbi sebelum apa-apa polisi dilaksanakan. Bak kata pepatah, monyet dihutan disusukan dibiarkan anak kelaparan. Begitulah rakayat asing dimanjakan sedangkan rakyat sendiri terpaksa menangung pelbagai penderitaan. Adalah lebih baik untuk pihak kerjaan menumpukan perhatian bagi memudahkan kekusutan permit, penghantaran pulang secara hormat daripada membuat peraturan yang meresahkan rakyat sendiri.

No comments: